Liga Super: Penalti KL City Buat Terengganu Pulang Hampa
MakanBola
TERENGGANU FC

KL City berjaya menumpaskan pasukan Terengganu dengan keputusan 1-0 hasil sepakan penalti oleh Paulo Josue di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Skuad The City Boys membariskan Quincy Kammeraad di bahagian penjaga gol dan Safawi Rasid sebagai ayam tambatan skuad tersebut manakala Kamal Azizi menggalas lilitan kapten.

Sementara itu, Terengganu menurunkan Suhaimi Husin di benteng terakhir dan penyerang berprolifik, Yann Mabella untuk merobek gawang pasukan KL City petang ini.

Kedua-dua pasukan dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang masing-masing namun tiada jaringan ditemui.

Skuad tuan rumah, KL City yang menduduki tangga kedua Liga dilihat melepaskan percubaan cantik ke kubu pasukan Terengganu namun ketangkasan penjaga gol, Suhaimi Husin harus diberi pujian.

Selepas itu, Terengganu turut melakukan percubaan ke gawang skuad KL City namun percubaan tersebut tersasar jauh dari gawang skuad tuan rumah.

Perlawanan separuh masa pertama terpaksa diberhentikan selama 30 minit pada minit ke 35′ akibat cuaca hujan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Bersambung semula perlawanan, kedua-dua pasukan masih buntu untuk mencari gol pembukaan aksi.

Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan masih bernafsu untuk memburu gol pertama aksi.

Terengganu tampak mempunyai peluang untuk meledak menerusi pemain sensasi, Yann Mabella namun masih gagal menerjah jaring skuad The City Boys.

Selepas itu, KL City yang mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri dilihat menggandakan usaha bagi menceriakan penyokong sendiri di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Memasuki minit ke 75′ perlawanan kedudukan masih terikat tanpa jaringan meskipun disajikan dengan beberapa percubaan berbahaya.

Skuad The City Boys dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke 80′ hasil kekasaran Alif Zakaria terhadap Paulo Josue.

Paulo Josue berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 82′ hasil sepakan penalti tersebut bagi memastikan skuad The City Boys berada di hadapan dengan 1 gol.

Perlawanan tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, KL City bagi memastikan membawa pulang 3 mata penuh di halaman sendiri.

KL City bakal meneruskan aksi dalam Liga Super dengan menentang Melaka pada 4 Oktober dan Terengganu bakal menerima kunjungan Kelantan TRW pada 3 Oktober dalam aksi liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.