Malaysia Dihukum, Wakil Vietnam Dalam Jawatankuasa Disiplin FIFA Cetus Persoalan
MakanBola
FIFA

Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan antarabangsa selepas FIFA mengenakan hukuman berkaitan isu pemalsuan dokumen pemain warisan. Pengumuman pada Jumaat lalu itu mengejutkan banyak pihak, malah FAM segera menyatakan hasrat untuk membuat rayuan.

Persoalan yang lebih menarik perhatian kini bukan hanya tentang kesalahan teknikal yang diputuskan, tetapi juga tentang siapa yang berada di sebalik proses membuat keputusan.

Jawatankuasa Disiplin FIFA kini dipengerusikan oleh Mohammed Al Kamali dari Emiriah Arab Bersatu dan turut dianggotai beberapa figura antarabangsa termasuk Bandar Al-Hamidani dari Arab Saudi. Dalam kalangan penyokong tempatan, nama yang paling mencuri perhatian ialah Nguyen Thi My Dung dari Vietnam.

Beliau merupakan seorang peguam berpengalaman yang pernah berkhidmat bersama Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) serta badan undang-undang sukan di peringkat Asia. Kehadirannya dalam jawatankuasa disiplin FIFA dianggap pengiktirafan terhadap profesional undang-undang dari rantau Asia Tenggara. Namun dalam konteks Malaysia, ini mencetuskan bayangan konflik kepentingan.

Adakah kehadiran wakil Vietnam ini berpotensi mempengaruhi keputusan Malaysia yang diumumkan FIFA pada Jumaat lalu? Secara rasmi, jawapannya tidak. Setiap ahli jawatankuasa terikat dengan prinsip integriti dan neutraliti. Tetapi persoalan itu tetap berlegar, lebih-lebih lagi apabila Vietnam juga merupakan lawan Malaysia dalam pusingan Kelayakan Piala Asia 2027.

Selain Vietnam, seorang lagi wakil dari Asia Tenggara turut berada dalam jawatankuasa berkenaan. Beliau ialah Abdul Salim Ahmed Ibrahim dari Singapura, yang juga mempunyai latar belakang dalam bidang guaman dan pentadbiran sukan. Walaupun komposisi antarabangsa seolah seimbang, bagi penyokong Malaysia, perhatian tetap terarah kepada pengaruh wakil Vietnam.

Bagi Malaysia, isu ini bukan sahaja soal hukuman diterima, tetapi juga tentang keadilan dalam proses menjatuhkan keputusan. Kehadiran wakil daripada negara serantau yang juga lawan dalam kelayakan jelas memberi bayangan bahawa imej FIFA kini turut dipersoalkan.