Liga Super: Negeri Sembilan Menang Selesa Atasi Sabah
MakanBola
NURSAIFUL/MAKANBOLA

Negeri Sembilan berjaya menundukkan skuad Sabah dengan keputusan 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Sabtu.

Pasukan The Jangs menurunkan Azri Ghani di bahagian penjaga gol dan Takumi Sasaki menggalas lilitan kapten manakala Joseph Esso mengemudi jentera serangan skuad tersebut.

Sementara itu, Sabah membariskan Khairul Fahmi di benteng terakhir dan Fergus Tierney menjadi ayam tambatan pasukan The Rhinos malam ini.

Skuad tuan rumah, Negeri Sembilan dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang pasukan Sabah bagi mendapatkan gol pendahuluan.

Sabah yang mahu menebus kekecewaan selepas tumpas besar kepada pendahulu Liga Super, JDT turut melakukan percubaan ke arah kubu skuad Negeri Sembilan namun percubaan tersebut tersasar.

The Jangs berjaya membuka akaun jaringan seawal minit ke 26′ menerusi rembatan cantik oleh Jovan Motika sekaligus menjarakkan kedudukan dengan 1 gol.

Sabah yang tersentak dengan jaringan tersebut dilihat meningkatkan serangan untuk mencari gol penyamaan namun masih gagal menembusi gawang yang dijaga rapi oleh Azri Ghani.

Skuad Negeri Sembilan menambah jaringan kedua perlawanan pada minit ke 40′ hasil ledakan berbisa oleh Alex Agyarkwa bagi memastikan The Jangs memasuki bilik persalinan dengan kelebihan 2 jaringan.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan.

Bersambung babak kedua perlawanan, Negeri Sembilan dilihat tidak mengendurkan asakan meskipun sudah berada di hadapan dengan 2 gol.

Jovan Motika mempunyai lambakan peluang keemasan untuk meraih gol ke 3 perlawanan namun rembatan beliau tersasar jauh dari gawang skuad Sabah.

Memasuki minit ke 70′ kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah dengan 2 jaringan.

Joseph Esso turut tersenarai dalam senarai penjaring apabila meledak gol ke 3 perlawanan pada minit ke 80′ bagi mematikan langkah skuad Sabah.

Perlawanan tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan sekaligus membawa pulang 3 mata penuh di halaman sendiri.

Negeri Sembilan bakal meneruskan aksi Liga Super dengan menentang Penang pada 4 Oktober di tempat lawan.

Sementara itu, Sabah bakal bertemu kelab dari Liga A1 dalam perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA musim ini menentang Bunga Raya pada 30 September di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.