Pemain pertahanan Malaysia, Facundo Garces tidak dapat beraksi untuk kelabnya, Deportivo Alaves buat masa ini.
Ini selepas kelab LaLiga itu memaklumkan mereka tidak akan menurunkan bek tengah berusia 26 tahun itu untuk aksi menentang Real Mallorca.
Perkara ini disahkan pengurusan kelab menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab itu.
“Deportivo Alavés telah menerima pemberitahuan rasmi mengenai sekatan yang dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA ke atas Facundo Garcés, dalam rangka kerja resolusi yang diumumkan organisasi antarabangsa tersebut.
“Akibat keputusan ini, Facundo Garces tidak akan dapat menjadi sebahagian daripada skuad untuk perlawanan yang akan kami hadapi petang ini menentang RCD Mallorca.
“Deportivo Alavés ingin menyatakan dengan rasa hormatnya terhadap tanggapan tidak bersalah yang dapat membantu pemain dan percaya bahawa proses itu akan diselesaikan secepat mungkin,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Garces mengikut jejak seorang lagi pemain Harimau Malaya, Gabriel Palmero. Palmero ketika ini digantung oleh Unionistas de Salamanca susulan pengumuman FIFA terhadap FAM baru-baru ini.