Negeri Sembilan Antara 7 Kelab Liga Super Kebal Di Laman Sendiri
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC antara tujuh pasukan yang memiliki rekod kebal di gelanggang sendiri dalam Liga Super.

Terbaru, rekod kebal Sang Rusa di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sukar dicabar Sabah FC. Ini selepas pasukan itu tewas 3-0 kepada tuan rumah pada 27 September lalu.

Tiga tonggak import Negeri Sembilan, Jovan Motika, Alex Agyarkwa dan Joseph Esso masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Situasi ini menyaksikan Negeri Sembilan masih belum tewas di Paroi dalam empat perlawanan di situ. Rekod ini turut dibantu dengan kehadiran 20,000 penyokong seperti yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

Selain Sang Rusa, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC, KL City FC, Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dan PDRM FC juga masih kebal di gelanggang sendiri.

JDT masih belum tewas dalam liga terutama di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sejak tahun 2022. Kali terakhir mereka tewas ialah pada musim 2021 di tangan Terengganu FC di SSI.

Selangor, Terengganu, KL City, Kelantan TRW dan PDRM juga masih belum tewas di gelanggang mereka dalam liga setakat ini.

Berbeza dengan empat pasukan lain, hanya KL City saja yang masih belum tewas dalam liga bersama JDT.

Rekod ini dijangka lebih sukar dipertahankan apabila liga memasuki minggu perlawanan ketujuh untuk PDRM dan Terengganu.

PDRM bakal melayan kunjungan JDT pada 5 Oktober. Terengganu pula bersiap sedia melayan kunjungan Kelantan TRW di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 3 Oktober.