Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mamaklumkan bahawa status 7 pemain warisan negara itu merupakan pemain Malaysia yang sah.
Baru-baru ini Jawatankuasa Disiplin FIFA mengenakan tindakan tegas terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FAM menerusi satu kenyataan oleh Setiausahanya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.
FAM berkata, pihaknya telah mengenal pasti kesilapan teknikal yang wujud semasa proses penyerahan dokumen dilakukan.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran,” ujar laporan terbaru FAM.
7 pemain yang dimaksudkan itu ialah Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel.
“FAM mengambil serius perkara ini. Walau bagaimanapun FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” tambahnya.
Terbaru, Presiden Kehormat FAM iaitu Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilaporkan sudah berada di ibu pejabat FIFA di Zurich untuk mesyuarat sekaligus mengemukakan rayuan kes pemain warisan.