Liga Super: Negeri Sembilan Kuasai Statistik Kehadiran Minggu Ke-6
MakanBola
NURSAIFULSYAH/MAKANBOLA

Negeri Sembilan berjaya menguasai statistik kehadiran aksi Liga Super minggu keenam.

Statistik kehadiran aksi minggu tersebut menyaksikan 20,816 orang penyokong menonton aksi Negeri Sembilan dan Sabah di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR).

Penyokong yang hadir bukan saja teruja melihat The Jangs menundukkan Sang Badak 3-0. Malah, mereka dapat menyaksikan kemenangan kedua skuad tersebut pada musim ini.

Kehadiran kedua tertinggi direkodkan dalam aksi antara JDT dan Penang. Aksi tersebut menyaksikan 10,270 orang hadir di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Aksi itu menyaksikan JDT menumbangkan skuad Harimau Kumbang dengan keputusan 6-0. Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Selatan kekal gah di puncak Liga Super.

Aksi Kuching City dan Imigresen di Stadium Negeri merekodkan kehadiran ketiga tertinggi iaitu 4,470 orang.

Penyokong The Cats di Stadium Kuching pulang gembira apabila Kuching City membelasah pelawat 4-0. Ramadhan Saifullah, Danial Asri dan Petrus Shitembi mencetak nama sebagai penjaring.

Aksi Brunei DPMM dan Kelantan TRW merekodkan kehadiran keempat tertinggi iaitu 2,800 orang. Aksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah menyaksikan skuad pelawat, Kelantan The Real Warriors (KTRW) menumpaskan tuan rumah 1-2.

1,551 orang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hadir menyaksikan aksi KL City dan Terengganu. Aksi itu menyaksikan tuan rumah meraih kemenangan bermakna 1-0 ke atas pelawat.

Satu-satunya perlawanan yang tertunda pada minggu ini ialah Selangor dan Melaka. Hal ini disebabkan skuad Selangor terlibat dalam Piala Sultan Selangor 2025.

Aksi ketujuh liga akan berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober ini.