Bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri memberikan cadangan untuk memanggil kembali 3 pemain memperkuatkan Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Asia pada Oktober.
Hal ini disebabkan pada 26 September 7 pemain warisan baharu Malaysia digantung untuk bermain bola sepak selama setahun atau sehingga rayuan berikutan isu pemalsuan dokumen diselesaikan.
Harimau Malaya bakal meneruskan aksi dalam kelayakan Piala Asia pada 9 & 14 Oktober dengan menentang pasukan Laos di halaman lawan terlebih dahulu sebelum bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Beliau mencadangkan tonggak penting The City Boys, Paulo Josue bagi mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Joao Figueiredo dan Imanol Machuca. Umum mengetahui, Paulo Josue mempunyai penyudah yang berbisa.
Sebelum ini, Paulo Josue dipanggil ke kem kebangsaan pada September namun beliau tidak dapat diturunkan berikutan cedera ketika sesi latihan.
Selepas itu, Asmawi mencadangkan bintang Terengganu, Akhyar Rashid dipanggil semula ke kem kebangsaan bagi menambah pilihan di bahagian sayap skuad kebangsaan.
Kali terakhir Akhyar Rashid dipanggil adalah ketika aksi kelayakan Piala Asia menentang Nepal pada Mac lalu.
Namun, khidmat Akhyar Rashid berkemungkinan besar tidak dapat dipanggil apabila beliau dilaporkan mengalami kecederaan dan perlu berehat selama 2-4 minggu.
Seterusnya, Ramadhan Saifullah. Beliau yang ketika ini menunjukkan prestasi yang memberangsangkan bersama skuad Kuching City.
Kali terakhir Ramadhan Saifullah dipanggil ke kem kebangsaan adalah ketika perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mac 2022. Beliau hanya diletakkan di bangku simpanan pada aksi tersebut.
Menurut Asmawi Bakiri, ketua jurulatih Malaysia, Peter Cklamovski harus memanggil Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Ramadhan Saifullah bagi menambah bisa serangan dan mengharapkan Arif Aiman berada di tahap terbaik untuk meledak ketika bertemu Laos.
“Kita perlu panggil kembali Paulo Josue dan harus memanggil Akhyar Rashid dan Ramadhan Saifullah.”
“Selain itu, kita turut mempunyai Arif Aiman sebagai senjata utama skuad Harimau Malaya dan Faisal Halim bagi merobek gawang pasukan Laos,” kata Asmawi Bakiri ketika di temubual bersama Astro Arena.
Harimau Malaya bakal bertemu Laos pada 9 & 14 Oktober ini bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027.