Luis Garcia Kecewa Kesilapan Teknikal FAM Rugikan JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia kecewa dengan kesilapan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hingga menyebabkan 3 pemain digantung.

3 pemain utama JDT iaitu Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal ketika ini digantung sementara waktu oleh FIFA atas dakwaan pemalsuan dokumen semasa mahu mewakili Malaysia.

Walau bagaimanapun, FAM menjelaskan bahawa terdapat kesilapan teknikal berlaku semasa proses penyerahan dokumen kepada FIFA dan telah pun menghantar rayuan.

Oleh itu, 3 pemain warisan ini digantung sementara waktu hingga keputusan baharu diumumkan termasuklah 4 lagi tonggak negara, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero.

CEO JDT, Luis Garcia menerusi satu kenyataan pada Selasa mengakui kecewa dengan kesilapan tersebut dan berharap masalah melibatkan pemain ini dapat diselesaikan segera.

“JDT kecewa oleh kerana kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyebabkan penggantungan tiga pemain skuad kebangsaan Malaysia yang beraksi bersama JDT.”

“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan para pemain dapat kembali mewakili JDT dalam masa terdekat,” ujar Luis Garcia dalam satu kenyataan.

JDT akan turun menentang Machida Zelvia malam ini dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) tanpa 3 pemain utama ini.