Dua kelab Sepanyol mengambil langkah menggantung dua pemain Malaysia susulan hukuman FIFA ke atas FIFA dan tujuh pemain warisan negara.
Dua kelab yang dimaksudkan ialah Deportivo Alaves dan Unionistas de Salamanca yang masing-masing menggantung Facundo Garces dan Gabriel Palmero.
Unionistas terlebih dahulu mengambil keputusan untuk menggantung bek kiri berusia 23 tahun itu selepas mengetahui keputusan yang dibuat Jawatankuasa Disiplin FIFA.
Susulan itu, Palmero tidak dibenarkan beraksi untuk kelab berkenaan sehingga keputusan rayuan FAM diputuskan oleh FIFA.
Kini, giliran Garces pula yang digantung Alaves buat sementara waktu. Keputusan ini diumumkan kelab tersebut menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.
“Susulan keputusan penggantungan yang dibuat Jawatankuasa Disiplin FIFA ke atas Facundo Garces, beliau digantung buat sementara waktu. Beliau tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan sehingga semua proses rayuan selesai.
“Kelab menghormati keputusan yang dibuat badan induk tersebut dan percaya situasi ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang terdekat,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selain Garces dan Palmero, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo juga masing-masing digantung sehingga proses rayuan FAM kepada FIFA selesai.