ACLE: Machida Zelvia Lega Raih Satu Mata
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Machida Zelvia, Go Kuroda mengakui lega meraih satu mata selepas diikat tanpa jaringan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Machida berpeluang memecah kebuntuan menerusi penalti Yuki Soma. Malangnya, penalti beliau pada separuh masa pertama itu terkena palang.

Selain itu, Zelvia juga dilihat buntu menembusi gawang Harimau Selatan yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi Mohamed.

Kuroda menyifatkan mutu penyudah yang tumpul sedikit sebanyak menjejaskan usaha Zelvia meraih tiga mata penuh di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Meskipun begitu, beliau turut melihat satu mata ini sebagai satu mata berharga dalam mendepani aksi-aksi Liga Timur ACLE seterusnya.

“Kita tak berapa tajam apabila kita mahu menyerang. Ini sesuatu yang kita harus perbaiki dalam perlawanan seterusnya.

“Kita datang sini dengan sasaran mendapatkan sesuatu daripada perlawanan ini. Meskipun ini bukan satu kemenangan, kita berpuas hati dengan satu mata,” katanya seperti dilaporkan AFC.

Keputusan ini menyaksikan Zelvia dan JDT masing-masing di tangga kelapan dan kesembilan dengan dua dan satu mata .