Pelumba Jepun Perkuat Cabaran JDT Racing Team Di Sepang
UltraSukan
JDT Racing Team

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah bakal mendapat sokongan menjelang pusingan kelima Asia Road Racing Championship (ARRC) di Sepang.

Ini selepas pengurusan pasukan itu mengumumkan kemasukan pelumba Jepun, Ryo Mizuno sebagai pelumba wildcard untuk kategori Asia Superbike 1000 (ASB1000).

“JDT Racing Team dengan sukacitanya mengumumkan pelumba Jepun, Ryo Mizuno sebagai kemasukan wildcard untuk pusingan seterusnya Asia Road Racing Championship.

“Pasukan tidak sabar untuk mengalu-alukan Ryo menyertai keluarga ini dan yakin pengalamannya akan menambah lagi kekuatan dan persaingan dalam grid,” kata pengurusan JDT Racing Team dalam satu kenyataan.

Hafizh dan Mizuno bukan asing kerana pernah bergandingan untuk membawa cabaran Ducati Team Kagayama untuk Kejohanan Dunia FIM Endurance 2024, Acara Tahunan Perlumbaan Ketahanan 8 Jam Coca-Cola Suzuka ke-45 di Suzuka tahun lalu.

Sentuhan Mizuno ditagih JDT Racing Team untuk membantu Hafizh merampas semula gelaran pendahulu keseluruhan ASB1000. Pusingan kelima ARRC di Sepang bakal bermula dari 10 hingga 12 Oktober ini.