Pemain Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dilaporkan berada di Malaysia berikutan isu dakwaan pemalsuan dokumen oleh FIFA.
Minggu lalu, topik mengenai isu 7 pemain warisan Harimau Malaya digantung oleh FIFA berikutan dakwaan pemalsuan dokumen hangat diperkatakan oleh penyokong bola sepak tempatan.
FIFA memberikan tempoh 10 hari kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberikan penjelasan lanjut tatkala 7 pemain ini digantung sementara oleh kelab masing-masing.
Salah seorang pemain tersebut adalah Rodrigo Holgado yang kini beraksi untuk America de Cali dan pihak kelab Colombia tersebut akan kekal berhubung rapat mengenai masalah ini bersama FAM.
Lantaran isu tersebut, seorang wartawan dari Colombia, Nany Florez memberitahu bahawa Rodrigo Holgado kini sudah berada di Malaysia dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan segera.
”Rodrigo Holgado kini berada di Malaysia bersama wakilnya. Pemain America de Cali itu berangkat selepas dikenakan sekatan FIFA terhadap pasukan kebangsaan dan 6 pemain lain,” lapor Nany Florez.
“Penyerang itu berharap situasi tersebut dapat diselesaikan dengan mengambil kira tempoh 10 hari untuk melakukan rayuan,” tambah wartawan itu lagi.
Selain Holgado, 6 lagi pemain yang dikenakan hukuman oleh FIFA adalah Facundo Garces, Imanol Manchuca, Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Gabriel Palmero.
Buat masa ini, masih tiada makluman baharu daripada FAM dengan badan induk bola sepak Malaysia itu masih menanti dokumen penuh keputusan penghakiman daripada FIFA.