Nama pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim kembali menjadi sebutan di pentas Asia.
Ini selepas akaun rasmi Liga Juara-Juara AFC (ACL) memuat naik video pemain sayap Selangor FC merobek gawang Lion City Sailors (LCS) dalam aksi terbaru Kumpulan G pada 1 Oktober lalu.
Selepas menerima hantaran rakan sepasukan, Chrigor Moraes, Faisal membuat larian ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol LCS, Ivan Susak.
Meskipun Selangor tewas 4-2 kepada The Sailors dalam aksi kedua kumpulan, kelincahan pemain sayap Harimau Malaya itu menjadi bualan penyokong di media sosial.
Seorang peminat bernama Khairul merasa gembira melihat Faisal kembali berada di prestasi terbaik. “Faisal Halim sudah kembali,” katanya di Instagram.
Pentadbir akaun Azzura Store ID pula menyifatkan larian beliau mirip kepada legenda Indonesia, Boaz Solossa. “Gaya larinya mirip Boaz (semasa) muda. Cuma Faisal versi kaki kanan,” ujarnya.
Faisal sudah mencetak empat gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam 11 penampilan bersama Selangor musim ini.