Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nur Azmi Ahmad menggesa FIFA menilai semula hukuman yang dijatuhkan kepada FAM dan tujuh pemain warisan negara baru-baru ini.
Ini kerana pada hemat beliau, hukuman tersebut dilihat tidak adil kepada skuad negara ketika pasukan itu berjuang memburu kelayakan ke Piala Asia 2027.
Justeru, Nur Azmi berharap Presiden Kehormat FAM merangkap Ahli Majlis FIFA, Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin dapat membantu badan induk itu menilai semula hukuman berkenaan.
“Saya berharap Tan Sri Hamidin dan Presiden FIFA (Gianni Infantino) dapat melihat hukuman yang diberi kepada kita itu adil atau tidak adil. Bagi saya, kita berada dalam kedudukan baik (dalam kumpulan) kelayakan (Piala Asia 2027), dalam (situasi) persediaan yang baik.
“Sudah tentu persediaan yang dibuat kita mempunyai kos yang begitu tinggi. Dan penyokong Malaysia sendiri melihat suasana bola sepak ini sebagai sukan nombor satu di Malaysia.
“Sudah tentu mereka mahu satu keputusan yang baik. Tidak adil mereka hukum FAM atau pasukan Malaysia ini dengan (satu) aduan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Nur Azmi yang juga Ahli Jawatankuasa Skuad Kebangsaan FAM merasa hairan mengapa FIFA mengubah fikiran mereka selepas memberi kebenaran kepada tujuh pemain tersebut.
Ini kerana pada hematnya, FAM sudah mengikut semua proses yang ditetapkan bagi membolehkan mereka beraksi untuk skuad kebangsaan.
“Orang kata peraturan tetap peraturan, kita kena laksanakan peraturan. Yang ini yang saya rasa musykil bahawa FIFA telah memberi surat kepada kita bermakna membenarkan pemain tersebut mewakili Malaysia.
“Dan bila ada aduan-aduan itu, kita tidak tahu sama ada bersifat negatif atau positif. Ia tidak adil buat pasukan negara walaupun kita sudah ikut proses-proses tersebut,” ujarnya.
FAM diberi tempoh 10 hari oleh FIFA untuk merayu hukuman yang dijatuhkan ke atas badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara.