Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi bayangan bahawa badan induk itu tidak akan mengusir Israel sebagai negara ahli badan tersebut.
Bayangan itu dinyatakan Presiden FIFA, Gianni Infantino tatkala badan induk itu terus menerima tekanan untuk mengusir Israel susulan tindakan kejam rejim ke atas rakyat Palestin.
Malah, usul tentang status penyertaan Israel dalam dunia bola sepak juga tiada dalam agenda mesyuarat Majlis FIFA yang akan berlangsung pada 3 Oktober.
Infantino memaklumkan bahawa FIFA tidak berupaya menyelesaikan masalah geopolitik yang berlaku di dunia ketika ini.
Ini kerana peranan badan induk itu ialah ejen penyatuan kemanusiaan menerusi nilai kemanusiaan, kebudayaan, pendidikan dan penyatuan.
“Kita bersama mereka yang menderita dalam banyak konflik yang wujud di dunia hari ini. Mesej paling penting yang bola sepak boleh sampaikan ialah keamanan dan penyatuan.
“FIFA tidak boleh menyelesaikan masalah geopolitik tetapi ia boleh dan mesti mempromosikan bola sepak di seluruh dunia dengan memanfaatkan nilai penyatuan, pendidikan, kebudayaan dan kemanusiaan,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
Kenyataan ini dijangka menimbulkan kemarahan ramai pihak terutama agensi-agensi kemanusiaan antarabangsa.
Ini kerana terdapat banyak laporan jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan rejim di Palestin terutama di Semenanjung Gaza.
Malah, sekumpulan panel hak asasi manusia PBB menggesa FIFA dan UEFA untuk mengusir Israel dengan kenyataan ini, “Sukan mesti menolak persepsi bahawa semuanya berjalan seperti biasa.”
Terdahulu, 50 atlet dan figura sukan antarabangsa menggesa UEFA untuk mengusir Israel. Antara yang menyokong inisiatif itu ialah Paul Pogba, Hakim Ziyech dan pemain Harimau Malaya, Richard Chin.