Rejim Israel mengugut mahu menyaman Reebok susulan laporan jenama sukan Amerika Syarikat itu mahu membuang logo mereka daripada kit pemain negara itu.
Footy Headlines melaporkan Reebok pada awalnya bersedia membuang logo jenama itu daripada jersi Israel. Ini selepas mereka akur dengan tekanan aktivis yang menggesa jenama sukan itu menghentikan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).
Susulan itu, seorang jurucakap IFA membuat kenyataan ini, “Kami kesal sebuah syarikat antarabangsa boleh tunduk kepada ancaman boikot yang tidak relevan.”
Ini membawa kepada laporan IFA mahu menyaman Reebok seandainya mereka tetap meneruskan tindakan untuk membuang logo mereka.
Pada akhirnya, Reebok bersetuju mengekalkan kerjasama dengan IFA. Seorang jurucakap jenama itu kemudiannya mengesahkan perkara tersebut.
Hal ini timbul tatkala Israel terus menerima kecaman atas kekejaman mereka ke atas warga Palestin terutama di Semenanjung Gaza.
Ini bukan kali pertama jenama sukan antarabangsa diboikot kerana mengadakan kerjasama dengan IFA. Sebelum ini, Errea, Puma dan Adidas menjadi sasaran aktivis selepas didapati bersetuju menjadi penaja jersi Israel.