Terengganu berjaya membenam cabaran pasukan Kelantan TRW dengan keputusan 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Skuad tuan rumah, Terengganu membariskan Suhaimi Husin di bahagian penjaga gol dan Shahrul Nizam menggalas lilitan kapten manakala Careca mengetuai jentera serangan.
Sementara itu, Kelantan TRW menurunkan Azfar Arif di benteng terakhir dan Sean Selvaraj menjadi ayam tambatan skuad tersebut malam ini.
Pasukan tuan rumah, Terengganu dilihat menguasai 15 minit pertama aksi dengan melancarkan beberapa percubaan berbahaya ke arah kubu Kelantan TRW namun gagal menembusi jaring.
Diego Landis berjaya membuka akaun jaringan skuad Terengganu pada minit ke 22′ di hadapan gawang pasukan pelawat hasil tangkapan kurang kemas dari penjaga gol Kelantan TRW selepas sepakan percuma Nurillo Tukhtasinov.
Nurillo berjaya menambah gol kedua skuad Penyu pada minit ke 29′ sekaligus menjarakkan kedudukan dengan 2 jaringan.
Yann Mabella terus memberikan derita buat pasukan Kelantan TRW dengan meledak gol mudah pada minit ke 39′ selepas menerima hantaran lintang dari sebelah kanan oleh Azam Azmi.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Terengganu.
Bersambung babak kedua, skuad Terengganu terus meningkatkan intensiti permainan meskipun sudah berada di hadapan dengan 3 gol.
Kelantan TRW meledak gol pertama pada minit ke 51′ menerusi pemain gantian, T. Saravanan bagi merapatkan defisit jaringan.
Memasuki minit ke 70′ kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, Terengganu dengan dua gol.
Yann Mabella meledak gol kedua beliau pada minit ke 72′ sekaligus mematikan langkah skuad Kelantan TRW bagi meraih mata.
Perlawanan tamat dengan keputusan 4-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, Terengganu.
Terengganu bakal meneruskan aksi suku akhir pertama Piala FA musim ini dengan menentang pasukan Kuching City pada 18 Oktober ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sementara itu, Kelantan TRW akan bertemu Sabah pada 18 Oktober bagi aksi suku akhir pertama Piala FA musim ini di halaman sendiri.