Safee Sali Kongsi Dua Kelebihan Hebat Jordan Mintah
MakanBola
Kuching City FC

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali percaya penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah mampu menjadi aset skuad negara di bahagian serangan.

Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas keputusan Peter Cklamovski memanggil penyerang berdarah Ghana itu ke kem Harimau Malaya baru-baru ini.

Safee melihat Mintah memiliki beberapa kelebihan yang dapat membantu skuad kebangsaan ketika melancarkan serangan. Bekas penyerang Terengganu FC itu dilihat bukan saja bijak menghidu peluang gol.

Malah, Safee melihat Mintah juga memiliki naluri bola sepak yang bagus ketika beraksi di atas padang. Beliau percaya dua kelebihan ini mampu membantu Mintah ketika bersama skuad negara.

“Saya lebih suka pergerakan dia (Mintah) sebenarnya. Dia pandai mengambil peluang dan berada di tempat yang sesuai untuk menjaringkan gol.

“Dia bukanlah pemain yang laju, (tubuh) fizikal dia pun taklah terlalu tegap (jika dibandingkan) dengan pemain lain.

“Tapi dia memiliki naluri bola sepak yang tinggi sedikit daripada pemain tempatan dan saya rasa itu membuktikan beliau layak berada dalam skuad Harimau Malaya,” katanya kepada Nadi Arena.

Mintah menjadi pemain naturalisasi terbaru Malaysia selepas proses naturalisasi beliau dimuktamadkan pada Ogos lalu.