Hajat ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk menggunakan khidmat salah seorang tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) bulan Oktober ini terpaksa dilupakan sekali lagi.
Senarai panggilan skuad Harimau Malaya untuk menghadapi aksi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Laos dikeluarkan pada Jumaat yang menyaksikan 29 pemain telah dipanggil.
Salah satu nama yang dilihat tiada di dalam senarai panggilan kali ini adalah tonggak tengah JDT, Nacho Mendez yang juga pemain warisan negara sejak diperkenalkan pada bulan Julai lalu.

Ketiadaan kelibat Nacho Mendez untuk aksi antarabangsa di bulan Oktober ini menyaksikan Peter Cklamovski terpaksa melupakan hasrat bagi bekerjasama dengan pemain berusia 27 tahun itu
Pada Ogos lalu, Peter Cklamovski tidak memanggil Nacho Mendez bagi aksi persahabatan berdepan Singapura dan Palestin atas faktor kecergasan fizikal setelah tampil buat JDT hampir kesemua aksi.
”Nacho Mendez lebih kepada situasi fizikal dan perubatan yang sedang kami hadapi sekarang (bulan Ogos),” ujarnya ketika sidang media pengumuman pemain pada 29 Ogos lalu.
“Saya rasa beliau (Nacho Mendez) antara yang paling banyak beraksi dalam liga, atau lebih kurang begitu.”
Malah, pengendali kelahiran Australia itu juga mendedahkan bahawa beliau sudah bercakap dengan Nacho Mendez dan siap untuk tampil bersama Harimau Malaya pada Oktober ini.
“Saya sudah beberapa kali berbual dengannya dan beliau (Nacho Mendez) amat bersemangat untuk berada di sini (Malaysia),”
“Namun ketika ini, jendela kali ini (untuk bulan September) bukan masa untuk kami (bekerjasama). Saya menantikan peluang bekerja dengan beliau dan menjangkakannya akan bersedia pada Oktober nanti,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, hajat itu tertangguh sekali lagi setelah Nacho Mendez tidak tersenarai dalam kalangan 29 pemain yang akan membawa cabaran negara dalam aksi menentang Laos ini.
Tanpa Mendez, jentera tengah skuad negara masih memiliki pilihan yang baik seperti Nazmi Faiz, Afiq Fazail, Nooa Laine, Stuart Wilkin, Sergio Aguero dan tonggak Ho Chi Minh City Police, Endrick Dos Santos.