‘Orang Besi’ Man City Tak Sertai Kunjungan Ke Malaysia
MakanBola
Manchester City

Penyokong Man City di Malaysia bakal kempunan tidak dapat melihat kelibat bek tengah muda Uzbekistan, Abdukodir Khusanov.

Ini selepas namanya tidak disenaraikan dalam senarai 27 pemain yang dibawa jurulatih Uzbekistan, Timur Kapadze untuk dua aksi persahabatan antarabangsa pada Oktober ini.

Sejak dipanggil menyertai skuad The White Wolves pada 2023, Abdukodir telah merekodkan 22 penampilan di peringkat antarabangsa.

Pencapaian terbaik bek tengah berusia 21 tahun itu ialah membantu Uzbekistan layak secara merit ke Piala Dunia 2026.

Selepas menyertai City pada Januari 2025, Abdukodir dilihat semakin membiasakan diri dengan corak permainan yang diterapkan jurulatih legenda Sepanyol, Pep Guardiola.

Musim 2025/26 menyaksikan Abdukodir telah membuat lima penampilan bersama The Citizens. Ini termasuk satu penampilan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Selain Abdukodir, satu lagi nama yang tidak tersenarai ialah bekas bek tengah Selangor FC, Umarbek Eshmurodov.

Kali terakhir pemain pertahanan berusia 32 tahun itu beraksi untuk Uzbekistan ialah aksi peringkat kumpulan CAFA Nations Cup menentang Oman.

Uzbekistan dijadual bertemu Kuwait pada 9 Oktober. Ini disusuli aksi menentang pasukan Amerika Selatan, Uruguay di Malaysia pada 13 Oktober.