Perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini menyaksikan Chelsea menewaskan Liverpool hasil jaringan di lewat permainan.
Kemenangan 2-1 ini direkodkan oleh Chelsea di laman sendiri selepas anak didik Enzo Maresca tumpas di tangan Brighton minggu lalu begitu juga dengan Liverpool yang tewas kepada Crystal Palace.
Chelsea turun tanpa ayam tambatan, Cole Palmer yang alami kecederaan selain Levi Colwill serta Trevoh Chalobah tatkala Giorgi Mamardashvilli melakukan penampilan pertama untuk Liverpool.
Jaringan pembukaan berjaya dihasilkan oleh pemain tengah, Moises Caicedo seawal minit ke-14 setelah rembatan deras bintang Chelsea ini dari luar kotak penalti terus menerjah ke gawang lawan.
Usaha Liverpool bagi menyamakan kedudukan membuahkan hasil di babak kedua apabila sentuhan ‘emas’ Cody Gakpo di dalam kotak penalti berjaya mengatasi penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Gol kemenangan yang dicari muncul ketika aksi memasuki masa tambahan menerusi bintang muda Chelsea, Estevao Willian sekaligus mengecewakan Liverpool di penghujung permainan
Aksi di Stamford Bridge berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Chelsea.