Kelab LaLiga, Athletic Bilbao meraikan pelarian Palestin sebelum aksi menentang Real Mallorca pada 4 Oktober lalu.
Roya News melaporkan kelab Basque itu telah menjemput sekumpulan pelarian Palestin yang menetap di wilayah tersebut sebagai tetamu untuk aksi berkenaan.
Turut sama menerima jemputan kelab yang diberi jolokan The Lions itu ialah bekas kapten skuad wanita Palestin, Honey Thalijeh dan wakil UNRWA.
Selepas bersalaman dengan para pemain termasuk penyerang berbisa Sepanyol, Inaki Williams, mereka kemudiannya berdiri di tengah padang. Ini membolehkan penyokong kedua-dua pasukan di San Mames berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepada mereka.
Presiden kelab, Jon Uriarte memaklumkan inisiatif ini dibuat bukan saja untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kekejaman yang dilakukan Israel terhadap warga Palestin.
Malah, beliau melihat bola sepak sebagai medium sejagat terbaik untuk menyampaikan mesej kemanusiaan yang dibawa warga Basque tentang Palestin.
Penyokong Athletic Bilbao sememangnya dikenali antara kumpulan yang kerap menyatakan sokongan kepada Palestin. Selain mengibarkan bendera negara itu di stadium, mereka turut melaungkan slogan “Palestina Aurrera” (Palestin Maju).
Selain The Lions, penyokong musuh setempat, Real Sociedad juga kerap melaungkan slogan menyokong Palestin di stadium keramat mereka, Stadium Anoeta.
Inisiatif Athletic Bilbao dilihat selari dengan pendirian kerajaan Sepanyol yang semakin lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
Malah, kerajaan negara itu bersedia mempertimbang langkah memboikot Piala Dunia 2026 seandainya Israel layak ke kejohanan itu.