Liga Super: Selangor Kembali Menang, Imigresen Masih Buntu
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor berjaya menumpaskan pasukan Imigresen dalam aksi minggu ke 7 Liga Super 2025-2026 dengan keputusan 1-3 di Stadium Negeri Pulau Pinang pada Ahad.

Pasukan tuan rumah, Imigresen menurunkan Farhan Majid di bahagian penjaga gol dan Fadzrul Danel menggalas lilitan kapten manakala Joao Pedro mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, Selangor membariskan Sikh Izhan di benteng terakhir dan Chrigor Moraes sebagai ayam tambatan skuad tersebut bagi aksi ini.

Kedua-dua pasukan tampil menyajikan aksi yang cukup bertenaga dengan aksi membalas serangan namun gagal menembusi gawang lawan masing-masing.

Memasuki minit ke 30′ kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun skuad Selangor melepaskan beberapa percubaan berbahaya.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan masih bernafsu untuk mencari gol pembukaan aksi.

Selangor terus menerus mengasak kubu pasukan Imigresen namun ketangkasan penjaga gol, Farhan Majid harus diberi pujian.

The Red Giants akhirnya berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 56′ menerusi pemain sayap lincah, Alvin Fortes.

Imigresen mengikat kedudukan perlawanan pada minit ke 66′ oleh pemain dari Venezuela, Eduardo Sosa.

Chrigor Moraes kembali meletakkan skuad Selangor di hadapan hanya selang seminit selepas gol pertama pasukan Imigresen.

Faisal Halim menambah derita skuad tuan rumah apabila meledak gol ke 3 pada minit ke 71′ sekaligus menjarakkan kedudukan dengan 2 jaringan.

Perlawanan tamat dengan keputusan 1-3 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor.

Imigresen bakal meneruskan aksi dalam saingan Liga Super dengan menentang pasukan Sabah di halaman sendiri pada 26 Oktober ini.

Sementara itu, Selangor akan bertemu Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama suku akhir Piala FA musim ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada 18 Oktober.