Jordan Mintah Sedia Bawa Malaysia ‘Terbang Tinggi’
MakanBola
Kuching City FC

Penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah sedia membawa Malaysia lebih maju ke hadapan menjelang dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.

Mintah menjadi sebahagian daripada tiga pemain Kuching City yang dipanggil Peter Cklamovski untuk kem kali ini.

Meskipun mengakui ini kali pertama beliau menerima panggilan kem Harimau Malaya, bekas penyerang Terengganu FC itu sudah bersedia mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Sebenarnya, saya berikan yang terbaik dan kita perlu bekerja keras bersama-sama untuk meletakkan negara di hadapan.

“Kita berjuang demi negara dan kita perlu berikan 100%. Dan kita akan pastikan negara ini bangga (dengan pencapaian kita),” katanya selepas aksi menentang Sabah FC.

Mintah membantu The Cats menghambat tiga pasukan teratas liga dengan menewaskan Sang Badak 1-0. Beliau turut menjaringkan gol kemenangan buat anak buah Aidil Sharin Sahak itu.

Mintah menjadi penyerang naturalisasi baharu Malaysia selepas proses naturalisasi beliau dimuktamadkan pada Ogos lalu.