Zaquan Adha: Kadang-Kadang Ramadhan Saifullah Kena Tamak Sikit
MakanBola
Kuching City FC

Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha AbduL Radzak berkongsi tip buat Ramadhan Saifullah Usman agar beliau dapat tampil cemerlang di peringkat antarabangsa.

Ramadhan menjadi sebahagian daripada tiga pemain Kuching City FC yang dipanggil Peter Cklamovski ke kem Harimau Malaya kali ini.

Bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilihat semakin menyerlah selepas melengkapkan perpindahan tetap ke The Cats musim ini.

Ramadhan sudah mencatatkan empat gol dan mencipta empat bantuan gol dalam lapan penampilan bersama Kuching City setakat ini.

Meskipun gembira melihat pemain sayap berusia 24 tahun itu menerima panggilan menyertai kem Harimau Malaya, Zaquan melihat ada aspek permainan yang boleh ditambah baik Ramadhan.

Salah satu daripadanya ialah aspek membuat keputusan di atas padang. Zaquan percaya sekiranya aspek ini dapat diperbaiki, ini akan membantu Ramadhan ketika bersama skuad kebangsaan.

“Dari segi membuat keputusan, kadang-kadang beliau kena tamak sedikit. Beliau perlu harus mengambil keputusan di mana beliau harus menjaringkan gol daripada membuat hantaran.

“Itu sebenarnya saya rasa (penambahbaikan aspek) membuat keputusan yang betul oleh Ramadhan. Saya harap beliau dapat membuat keputusan yang baik untuk skuad kebangsaan,” katanya kepada Nadi Arena.

Ramadhan berpeluang meraih penampilan pertama sekiranya diturunkan dalam aksi menentang Laos di Vientiane pada 9 Oktober ini.