FIFA mendedahkan penjelasan lengkap tentang keputusan menjatuhkan hukuman kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan 7 pemain warisan Harimau Malaya selepas siasatan mendapati berlaku ketidakselarasan dalam dokumen asal yang dikemukakan ketika proses pendaftaran pemain terbabit.
Dalam laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa tindakan diambil kerana pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang melibatkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang diserahkan oleh FAM, termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain, memaparkan maklumat yang tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar. Dokumen asal menunjukkan bahawa individu yang dinamakan sebagai datuk atau nenek 7 pemain tersebut tak dilahirkan di Malaysia seperti dinyatakan dalam versi yang dikemukakan kepada FIFA.
Dalam Lampiran 13 laporan itu, FIFA menyenaraikan semakan tempat lahir asal keluarga pemain terbabit yang menyaksikan nenek kepada Gabriel Felipe Arrocha dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, dan datuk Facundo Tomás Garcés berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Datuk Rodrigo Julián Holgado pula dilahirkan di Buenos Aires, sementara nenek kepada Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan. Bagi João Vitor Brandão Figueiredo, datuknya berasal dari Abre Campo, Brazil.
Manakala datuk kepada Jon Irazábal Iraurgui dikesan lahir di wilayah Viscaya, Sepanyol. Dalam kes Hector Alejandro Hevel Serrano, datuknya dilahirkan di The Hague, Belanda.

FIFA turut menjelaskan bahawa semua dokumen asal itu disahkan hasil semakan silang dengan rekod pendaftaran awam di negara-negara berkenaan, dan tiada bukti sahih yang menunjukkan kaitan langsung dengan Malaysia. Laporan itu turut menyebut bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder yang diserahkan kepada mereka, bukan berpandukan rekod kelahiran asal.
Walaupun FAM dan pemain-pemain berkenaan menjelaskan bahawa semua dokumen diperoleh secara sah melalui saluran rasmi, FIFA menegaskan prinsip tanggungjawab mutlak tetap terpakai. Ini bermakna, meskipun tiada bukti menunjukkan niat untuk menipu, kegagalan mengesahkan ketulenan dokumen tetap dikategorikan sebagai pelanggaran tatatertib.
Tujuh pemain tersebut turut dikenal pasti pernah beraksi dalam perlawanan rasmi skuad kebangsaan termasuk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025, di mana dua daripadanya menjaringkan gol.
Susulan keputusan itu, FIFA mengenakan denda berjumlah CHF350,000 sekitar RM1.8 juta kepada FAM. Ketujuh-tujuh pemain berkenaan pula masing-masing didenda CHF2,000 dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa.
FAM diberikan tempoh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran denda dan tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Keputusan ini secara tidak langsung menjawab persoalan ramai penyokong yang sebelum ini tertanya-tanya mengenai sebab sebenar tindakan disiplin itu dikenakan walaupun semua pemain terbabit sudah beberapa kali beraksi bersama Harimau Malaya sejak Mac lalu.