“FAM Tak Boleh Berdiam Diri” – Hannah Yeoh
MakanBola
MSN Malaysia

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berdiam diri dan segera memfailkan rayuan.

Hal ini dinyatakan beliau selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengeluarkan sebab di sebalik hukuman yang dijatuhkan badan induk itu ke atas FAM dan tujuh pemain warisan negara.

“Saya telah membaca Alasan Penghakiman FIFA. FAM perlu melengkapkan proses rayuan – mengumumkan hasrat untuk merayu dan memfailkannya.

“FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti menjawab secara jelas tentang segala pendedahan yang dibuat oleh FIFA. Penyokong bola sepak tanahair berasa terluka, marah dan kecewa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Hannah turut berharap penyokong agar tidak lupa memberi sokongan kepada skuad negara yang akan turun menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober ini.

“Kita juga tidak boleh melupakan pasukan Harimau Malaya yang akan menentang Laos minggu ini. Kepada pemain Malaysia, kami sentiasa bersama anda,” tambahnya.

Susulan itu, FAM memaklumkan mereka akan membuat rayuan kepada FIFA berhubung hukuman tersebut.