Itali Tak Rela Lihat Negara Haram Menang Percuma
MakanBola
Azzurri

Jurulatih Itali, Gennaro Gattuso memaklumkan anak buahnya tetap bersedia menghadapi cabaran Israel menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Kumpulan I.

Meskipun mengakui merasa kurang selesa menentang negara tersebut, legenda Itali itu memaklumkan mereka perlu memenuhi perlawanan tersebut.

Ini kerana seandainya Azzurri menarik diri daripada aksi berkenaan, Israel akan mendapat kemenangan percuma 3-0. Atas sebab itu, Gattuso mahu memastikan perkara itu tidak akan berlaku.

“Saya pencinta keamanan tetapi kita kena menentang Israel kerana mereka berada dalam kumpulan kita,: katanya seperti dilaporkan Get Italy Football News.

“Ianya menyakitkan melihat orang awam dan kanak-kanak yang tak berdosa mati tetapi kita perlu beraksi. Jika kita tidak bermain (menentang Israel), kita kalah 3-0.”

Israel kini menerima tekanan hebat daripada masyarakat antarabangsa susulan tindakan kejam mereka ke atas warga Palestin terutama di Semenanjung Gaza.

Malah, UEFA dan FIFA turut digesa mengusir Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) daripada kedua-dua badan induk itu.

Meskipun FIFA memberi bayangan tidak akan berbuat demikian, tekanan untuk memaksa IFA ditendang keluar dijangka akan terus meningkat.

Israel berpotensi layak ke Piala Dunia 2026 sama ada sebagai juara Kumpulan I atau play-off. Ini kerana Israel berkongsi sembilan mata dengan Itali ketika ini.

Meskipun begitu, penyertaan Israel dijangka mendapat tentangan banyak negara. Bekas juara dunia 2010, Sepanyol memberi bayangan akan memboikot Piala Dunia 2026 sekiranya Israel layak ke kejohanan itu.