Harimau Malaya memiliki sinar baharu menjelang pertemuan menentang Laos, 9 Oktober ini.
Skuad kendalian Peter Cklamovski sudah pun berada di Laos untuk menjalani persiapan sejak 6 Oktober lalu sebelum berdepan tuan rumah, esok.
Beliau menyenaraikan seramai 29 orang pemain dengan kehadiran beberapa muka baharu terutamanya selepas ketiadaan tujuh pemain warisan baharu Harimau Malaya.
Persiapan Malaysia berjalan lancar terutamanya dengan kehadiran pemain seperti Ramadhan Saifullah, Jordan Mintah dan juga Ubaidullah Shamsul yang mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan domestik.
Skuad negara kini memburu kemenangan ketiga Kumpulan F selepas berjaya menewaskan Nepal dan juga Vietnam pada dua aksi awal.
“Persiapan pasukan berjalan lancar, kita juga sudah melihat segala aspek untuk berdepan lawan yang bukan calang-calang.
“Sasaran kami adalah untuk mara ke pentas Piala Asia sekali lagi,” kata kapten pasukan, Dion Cools.
Rekod pertembungan menyaksikan Malaysia menang kesemua lima aksi terakhir menentang Laos termasuklah keputusan 3-1 pada satu aksi persahabatan, November 2024.