Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji impak jaguh Muay Thai muda negara, Johan Ghazali.
Pandangan ini dibuat beliau selepas menerima kunjungan Johan dan keluarganya di Bangunan Perdana Putra pada 8 Oktober lalu.
Anwar menyifatkan Johan bukan saja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi kejayaannya dalam dunia Muay Thai.
Malah, beliau turut memuji jaguh berusia 18 tahun itu memberi contoh positif kepada anak muda dalam kehidupan seharian terutama dalam bidang sukan.
“Keazaman, disiplin dan semangat juang yang ditunjukkan oleh saudara Jojo mencerminkan nilai sebenar seorang anak muda Malaysia yang tidak mudah mengalah dalam mengejar impian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
“Lebih membanggakan, saudara Jojo turut aktif menyuarakan pandangan dan menyertai kempen kesedaran bagi membanteras budaya buli, serta menyuntik inspirasi kepada anak muda untuk membina keyakinan diri, keteguhan jati diri dan semangat positif dalam kehidupan seharian.”
Anwar percaya sekiranya kerajaan memberi sokongan berterusan kepada sektor sukan, beliau percaya lebih ramai jaguh seperti Johan dapat dihasilkan.
“Saya yakin dengan semangat dan dukungan berterusan, lebih ramai atlet muda akan lahir untuk mengharumkan nama negara di persada dunia,” ujarnya.
Kunjungan ini turut disertai ibu bapa Johan, SAC Zulfikar Mohd Ghazali dan Jennana Lynn Johnson. Turut sama hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Johan berharap dapat menutup tahun 2025 dengan kemenangan menerusi pertarungan baharu yang dijangka berlangsung pada Disember ini.
Beliau turut memberi kepercayaan kepada ONE Championship untuk memilih lawan beliau yang seterusnya untuk aksi berkenaan.