Malaysia akhirnya menjejakkan kaki dalam kelompok 120 dunia dan memintas Indonesia berdasarkan kemas kini ranking masa-nyata selepas atasi Laos pada Khamis.
Aksi ke-3 pusingan akhir Kelayakan Piala Asia menyaksikan Malaysia turun ke Vientiane dengan misi untuk mengutip 3 mata selepas mencatat dua kemenangan dalam perlawanan lalu.
3 jaringan di babak kedua menerusi Arif Aiman, Dion Cools dan Faisal Halim memberi kemenangan yang amat penting dalam perjalanan Harimau Malaya menuju ke pentas Piala Asia.
Kejayaan 3-0 ini membolehkan Malaysia mengutip tambahan +6.77 mata FIFA dan mengumpul keseluruhan 1,155 mata bahkan melonjak naik ke tangga 119 secara masa-nyata buat masa ini.
Tambahan mata ini juga menyaksikan skuad kebangsaan yang berada di ranking ke-122 dunia berjaya memintas 3 buah negara iaitu Togo, Korea Utara dan Indonesia yang mengumpul 1151.26 mata.
Kedudukan masa-nyata ini masih boleh berubah oleh kerana beberapa aksi lagi akan berlangsung dalam tempoh terdekat melibatkan negara yang memiliki mata ranking yang hampir dengan Malaysia.
Misi Harimau Malaya belum selesai meskipun berjaya meraih mata di tempat lawan dengan Laos sekali lagi menjadi lawan Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Asia pada Selasa depan.