Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan ke atas Laos dalam aksi terbaru kelayakan Piala Asia 2027.
Malaysia memburu satu lagi kemenangan untuk memperkukuh cengkaman sebagai pendahulu Kumpulan F. Laos pula memburu kemenangan selepas menewaskan Nepal 2-1 pada Jun lalu.
Romel Morales menjadi sandaran gol pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Bounphachan Bounkong pula mengetuai cabaran Laos.
Separuh masa pertama menyaksikan skuad negara memberi tekanan ke atas benteng Laos menerusi Morales, Arif Aiman Hanapi dan Corbin Ong.
Situasi ini memaksa penjaga gol Laos, Kop Lokphathip bekerja keras menafikan serangan bertali arus pelawat yang memburu gol pendahuluan.
Kecemerlangan penjaga gol Ezra FC itu memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Malaysia semakin garang meningkatkan asakan ke atas kubu pertahanan Laos.
Gol yang dicari pelawat akhirnya hadir pada minit ke-54 menerusi Arif Aiman. Calon Pemain Terbaik AFC 2025 itu melepaskan rembatan yang menerjah jaring Laos.
15 minit kemudian, giliran kapten Harimau Malaya, Dion Cools mencetak nama sebagai penjaring. Meskipun Kop berjaya menafikan percubaan awal Morales, beliau tidak berupaya menghalang percubaan susulan pemain Cerezo Osaka itu.
Kelebihan dua gol membolehkan Cklamovski memberi peluang kepada pemain sayap Kuching City FC, Ramadhan Saifullah membuat penampilan pertama di peringkat antarabangsa.
Malaysia terus memberi tekanan kepada Laos untuk memburu gol tambahan. Hasilnya, pemain gantian, Faisal Halim memastikan skuad negara ceria meraikan kemenangan 3-0 pada akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia terus memperkukuh cengkaman di persada Kumpulan F dengan sembilan mata. Laos pula kekal di tangga ketiga dengan tiga mata.
Selepas ini, kedua-dua pasukan akan kembali berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 14 Oktober ini.