Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, Erick Thohir luah perasaan kecewa dengan beberapa keputusan FIFA bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Indonesia.
Hal ini berikutan dengan beberapa isu seperti pengadil, lokasi dan waktu untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pasukan kebangsaan Indonesia.
Beliau beranggapan bahawa ada orang yang ingin menjatuhkan pasukan kebangsaan Indonesia dari layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada.
Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung bermula 11 Jun hingga 19 Julai dengan penyertaan 48 negara dari 6 konfederasi. Kejohanan berprestij itu bakal diadakan di 16 bandar terkemuka.
Menurut beliau, ada pihak yang tidak mahu pasukan Garuda layak ke Piala Dunia selepas mempunyai kebangkitan dalam bola sepak dengan menukarkan beberapa perkara.
“Persiapan bulan Oktober mempunyai tekanan yang tinggi. Satu, dari tuan rumah neutral tetapi sekarang Arab Saudi menjadi hos. Selain itu, jadual pertandingan diletakkan di waktu tidak bersesuaian bersama-sama pengadil dari negara Arab bukan dari Australia atau Eropah.”
Tambah Erick Thohir, selepas kebangkitan Indonesia ada pihak tidak menyukai. Beliau beranggapan bola sepak untuk menyatukan semua pihak bukan memecah belahkan.
“Rupanya dengan bola sepak kita bangkit ada pihak yang tidak gembira. Bola sepak adalah pertandingan yang sihat dan menyatukan semua pihak tetapi hal-hal tidak baik ini terjadi,” kata Erick Thohir di satu hantaran laman media sosial BolaSport.Com.
Setakat ini Indonesia telah tumpas kepada Arab Saudi dengan keputusan 3-2 di perlawanan pertama pusingan 4 kelayakan Piala Dunia 2026 peringkat Asia.
Indonesia bakal meneruskan aksi dalam kelayakan Piala Dunia 2026 dengan bertemu pasukan kebangsaan Iraq bagi menyalakan peluang ke kejohanan berprestij itu.