Hasrat Turkmenistan untuk memperkukuh cengkaman pendahulu Kumpulan D musnah apabila tewas kepada pasukan ke-197 dunia, Sri Lanka.
Turkmenistan yang dibimbing Rovshen Meredov berharap dapat meraih kemenangan untuk menjarakkan kedudukan dengan jaguh Asia Tenggara, Thailand.
Malangnya, apa yang dihajati pasukan Asia Tengah itu tidak berlaku apabila kedua-dua pasukan bertemu di Colombo.
Selepas berjaya mengikat Turkmenistan pada separuh masa pertama, anak buah Abdullah Al-Mutairi meraih gol kemenangan menerusi pemain berdarah Jerman, Leon Perera.
Perera yang beraksi untuk kelab divisyen empat Jerman, Luneburger SK Hansa menjaringkan gol pada minit ke-67.
Gol tersebut sudah cukup untuk memastikan kem Sri Lanka meraikan kemenangan pada akhir perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Sri Lanka, Turkmenistan dan Thailand kini terikat enam mata.
Selepas ini, kedua-dua pasukan akan berentap di Arkadag, Turkmenistan untuk aksi timbal balik Kumpulan D.