Bekas Pengurus Chelsea Ubah Haluan Karier Giancarlo Gallifuoco
MakanBola
KLCFC/FCP

Bek tengah KL City FC, Giancarlo Gallifuoco mendedahkan bekas jurulatih Chelsea, Andre Villas-Boas bertanggungjawab mengubah beliau sebagai bek tengah hari ini.

Hal ini dikongsikan bekas pemain Swansea City itu semasa menjadi tetamu program Borak Borak Botak.

Gallifuoco mendedahkan semasa beliau dan Villas-Boas bersama Tottenham Hotspur, jurulatih Portugal itu bukan saja memberi bimbingan sebagai mentor.

Malah, bekas jurulatih FC Porto itu juga fasih berbicara dalam Bahasa Itali. Kelebihan komunikasi itu dilihat membantu Villas-Boas membentuk Gallifuoco sebagai pemain pertahanan yang dikenali hari ini.

“Beliau (Villas-Boas) boleh cakap dalam Bahasa Itali. Jadi, beliau ambil saya di bawah bimbingan beliau.

“Beliau cakap, ‘Saya rasa awak ada masa depan sebagai bek tengah.’ Dari situlah karier saya berubah,” katanya kepada pengacara program, Nafis Abdullah.

Sejak itu, Gallifuoco tidak menoleh ke belakang dan membina nama sebagai bek tengah sebelum berkelana ke KL City pada 2020.

Selain Chelsea, Porto dan Tottenham Hotspur, Villas-Boas juga pernah bergelar jurulatih Zenit St. Petersburg, Shanghai SIPG dan Olympique Marseille.

Kini, beliau merupakan presiden Porto selepas memenangi pemilihan presiden kelab itu pada tahun 2024.