Peter Cklamovski Tiada Niat Burukkan FAM
MakanBola
Malaysia NT

Bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa percaya pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski tiada niat memburukkan badan induk itu.

Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas komen yang dibuat jurulatih Australia itu selepas aksi menentang Laos baru-baru ini.

Cklamovski bukan saja mempertahankan jasa DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kepada bola sepak negara.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa kepada FAM berhubung situasi yang melanda badan induk itu dan tujuh pemain negara yang dihukum FIFA.

Annuar berpandangan Cklamovski tiada niat untuk memburukkan FAM dalam kenyataannya itu. Ini kerana kenyataan bekas jurulatih FC Tokyo itu bersandarkan kepada fakta yang diakui badan induk itu.

“Dalam ayat-ayat beliau, beliau menekankan justifikasi dan ucapan terima kasih kepada DYAM TMJ yang banyak membantu pasukan kebangsaan. Dan di celah itu, barulah beliau selit peristiwa yang berlaku bukan salah TMJ, ini salah di FAM.

“Itu adalah fakta yang FAM akui. Jadi, dalam hubungan ini, saya bersetuju pertama, saya tidak nampak niat (Cklamovski) memburukkan FAM.

“Kedua, saya tidak nampak dari segi semangat (peraturan FAM), dia tidak melanggar statut 88 (kini Artikel 91 FAM). Dan ketiga, dia telah menyebut apa yang FAM telah lalui,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Annuar bukan asing dengan isu ini kerana beliau pernah digantung FAM pada 2012. Ini selepas beliau didapati melanggar Artikel 88 (kini Artikel 91) badan induk itu kerana memberi kritikan keras kepada FAM.