Terengganu Bangkit Ikat Songkhla
MakanBola
SONGKHLA FC

Terengganu berjaya mengikat pasukan Songkhla dengan keputusan 1-1 di Stadium Tinsulanonda, Songkhla pada Sabtu dalam aksi persahabatan.

Terengganu yang membariskan Syed Nasrulhaq di bahagian penjaga gol dan Shahrul Nizam menggalas lilitan kapten manakala Yann Mabella mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, pasukan tuan rumah, Songkhla menurunkan Muhammadburhan Awae di bahagian pertahanan dan Noto Boontawan mengetuai kesebelasan utama pasukan tersebut.

Songkhla terus melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu Terengganu bagi membuka akaun jaringan di hadapan penyokong sendiri.

Terengganu turut mempunyai peluang untuk meledak gol namun ketangkasan penjaga gol Songkhla, Jedtarin Bunchod harus diberi pujian.

Songkhla berjaya memecahkan kebuntuan jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi penyerang berbisa dari Brazil, Gregory bagi mendahului perlawanan dengan satu gol.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Songkhla.

Bersambung babak kedua perlawanan, Terengganu dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan sejurus aksi separuh masa kedua bermula.

Pasukan Penyu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 65′ hasil ledakan oleh Yann Mabella bagi mengikat keputusan semasa.

Memasuki minit ke 66′ Terengganu melakukan 3 pertukaran dengan mengeluarkan Syed Nasrulhaq, Baqiuddin dan Faris Rifqi.

Sementara itu, memasukkan Rahadiazli, Saiful Jamaluddin dan Zachary bagi menambah kekuatan pasukan Terengganu.

Kedua-dua pasukan tampak menggandakan usaha untuk memperoleh gol kedua bagi meraih kemenangan dalam aksi persahabatan ini.

Memasuki minit ke 80′ kedudukan masih terikat 1-1 hasil jaringan Gregory untuk Songkhla dan Yann Mabella bagi Terengganu.

Perlawanan separuh masa kedua tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan.