Norway Salur Jualan Tiket Kepada Palestin
MakanBola
Fotballandslaget

Norway menyalurkan semua hasil jualan tiket aksi menentang Israel sebagai derma buat Palestin.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Norway (NFF) sudah memaklumkan akan menderma hasil jualan tiket perlawanan tersebut demi membantu program kemanusiaan di Palestin.

Langkah NFF kemudiannya dikecam Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) sebagai tidak sensitif kepada badan induk itu.

Meskipun menerima kecaman IFA, NFF tetap menunaikan janji mereka seperti yang dikongsikan portal berita Roya News. Ia turut disahkan Presiden NFF, Lisa Klaveness.

Derma berkenaan bakal digunakan organisasi Doctors Without Borders untuk membantu program kemanusiaan di Palestin terutama di Semenanjung Gaza.

Derma ini dilihat tepat pada masanya terutama apabila Palestin dan Israel mencapai gencatan senjata yang diumumkan baru-baru ini.

Aksi Norway dan Israel berkesudahan dengan kemenangan besar 5-0 buat tuan rumah. Penyerang Manchester City, Erling Haaland turut mencipta hatrik dalam aksi sama.

Aksi ini turut menyaksikan penyokong Norway menzahirkan sokongan kepada Palestin. Selain mengibarkan bendera Palestin, mereka turut menaikkan sepanduk yang berbunyi “Benarkan Kanak-kanak Hidup!”.

Selepas ini, Israel bakal menentang Itali pula pada 15 Oktober.