Annuar Musa Hargai Sumbangan Tunku Ismail Kepada Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi sumbangan besar kepada skuad kebangsaan.

Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas komen pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski baru-baru ini.

Annuar yang juga Presiden Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) menyifatkan Tunku Ismail banyak memberi sumbangan kepada bola sepak negara.

Malah, beliau merasakan tidak ramai indvidu yang berupaya melakukan perkara sama yang dibuat baginda untuk Harimau Malaya.

“Banyak peranan yang dibuat TMJ. Dalam hubungan ini, saya perhatikan bola sepak Malaysia sangat banyak dibantu TMJ.

“Tak banyak individu tak kira semasa memegang jawatan atau pun selepas memegang jawatan, sanggup memberikan bentuk bantuan (tak kira) sokongan moral atau material bagi mengukuhkan skuad kebangsaan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Sebelum ini, Cklamovski mempertahankan jasa yang telah ditabur Tunku Ismail kepada bola sepak negara terutama skuad Harimau Malaya.

Komen itu dibuat jurulatih Australia itu selepas aksi antara skuad negara dan Laos di Vientiane pada 9 Oktober lalu.