“Setiap Hari Luka Modric Hancurkan Keyakinan Saya” – Giancarlo Gallifuoco
MakanBola
KLCFC/ACM

Pemain pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco menyifatkan Luka Modric sebagai pemain terbaik yang beliau pernah saksikan dalam kariernya.

Pandangan itu dilontarkan pemain pertahanan Australia itu semasa menjadi tetamu program Borak-Borak Botak baru-baru ini.

Gallifuoco mendedahkan beliau hanya sempat bermain bersama Modric selama enam bulan ketika bersama Tottenham Hotspur.

Meskipun begitu, bek tengah berusia 31 tahun itu menyifatkan legenda Croatia itu kerap mengakali beliau setiap kali menjalani sesi latihan.

“Ya, saya ada seorang (iaitu Luka Modric) tetapi saya sempat bermain dengan beliau selama enam bulan. Setiap hari (dalam sesi latihan). Setiap hari beliau hancurkan saya, Setiap hari beliau musnahkan keyakinan saya,” katanya.

Gallifuoco turut berkongsi pengalaman beraksi menentang Modric buat kali pertama selepas memuktamadkan perpindahan ke kelab itu.

Beliau bergandingan dengan rakan senegara, Massimo Luongo dan Tom Carroll di bahagian tengah. Gallifuoco menyifatkan gandingan mereka tidak berupaya mengekang kelincahan jeneral tengah berusia 40 tahun itu.

“Hari pertama saya sampai di sana, lepas saya lulus pemeriksaan perubatan, mereka terus buat perlawanan 11 lawan 11. Jadi, kami pemain pasukan simpanan lawan pemain pasukan utama.

“Ketika itu, saya bermain di bahagian tengah bersama Tom Carroll dan Massimo Luongo dan kami lawan Luka Modric. Saya bagi usaha 100% tapi saya tak boleh kejar beliau. Saya tak dapat kejar, terjah atau rampas bola.

“Macam beliau ada mata di sana sini, beliau memang luar biasa, Ketika itu saya berumur 18 tahun, penuh dengan tenaga. Tapi beliau tanpa keraguan antara pemain terbaik yang saya pernah lihat,” ujarnya.

Meskipun kini berusia 40 tahun, Modric terus menjadi tonggak utama pasukan baharunya, AC Milan selepas meninggalkan Real Madrid.

Bekas pemain tengah Dinamo Zagreb itu sudah merekodkan tujuh penampilan, satu gol dan satu bantuan gol bersama Rossoneri setakat ini.