Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah terlepas peluang mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan ARRC untuk kategori ASB1000.
Ini selepas pelumba berusia 31 tahun itu terjatuh dalam perlumbaan kedua ASB1000 yang berlangsung di Sepang.
Selepas meraih kemenangan dalam perlumbaan pertama pada 11 Oktober lalu, Hafizh berpeluang melebarkan kelebihan mata dengan dua pencabar terdekat, Zaqhwan Zaidi dan Keito Abe.
Ketiga-tiga pelumba itu bermula dari kedudukan sama yang diraih dalam pusingan kelayakan yang diadakan pada hari yang sama.
Sebaik perlumbaan bermula, pada awalnya, rakan senegara yang juga pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar memimpin perlumbaan.
Walau bagaimanapun, kedudukan beliau tidak bertahan lama apabila kembali dipintas Hafizh dan rakan sepasukan, Zaqhwan.
Kepantasan jentera Honda digunakan sebaiknya Zaqhwan untuk memintas bekas jaguh MotoGP itu pada pusingan kedua perlumbaan.
Hafizh berusaha merapatkan jurang dengan pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu. Beliau kemudiannya berjaya memintas semula Zaqhwan dalam pusingan kesembilan perlumbaan.
Kedua-dua pelumba terus memberi saingan sengit untuk memburu gelaran juara sambil diekori oleh Azroy Hakeem. Malangnya, Hafizh dan Zaqhwan terlibat dalam kemalangan dalam pusingan akhir perlumbaan.
Ini membuka ruang buat Azroy Hakeem meraih kejuaraan di Sepang. Hafizh pula sekadar meraih enam mata dengan menduduki tempat ke-10.
Keputusan ini menyaksikan Nakarin Atiratphuvapat kini memimpin kejuaraan keseluruhan ASB1000 dengan 152 mata. Hafizh mengekori di belakang dengan 148 mata.