Lim Chan Yew: Mahu Atau Tidak, Peter Cklamovski Kena Buat Juga
MakanBola
Malaysia NT

Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski tidak memiliki pilihan lain menjelang aksi Malaysia vs Laos menurut bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew.

Harimau Malaya akan menghadapi Laos sekali lagi pada aksi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia setelah menumbangkan lawan yang sama minggu lalu di Vientiane dengan keputusan 3-0.

Pada aksi tersebut, Arif Aiman, Dion Cools serta Faisal Halim muncul penjaring bagi membantu Malaysia mengutip 3 mata meskipun turun tanpa 7 pemain warisan yang digantung oleh FIFA.

Walaupun memperoleh kemenangan selesa di tempat lawan, namun Lim Chan Yew merasakan perubahan akan dilakukan oleh Peter Cklamovski menjelang pertemuan di Bukit Jalil ini.

”Bagi saya, jurulatih (Peter Cklamovski) akan tengok balik aksi (Laos vs Malaysia) dan pada 14 Oktober ini saya rasa akan ada pertukaran dari segi kesebelasan utama,” jangka Lim Chan Yew.

Perubahan yang dijangkakan oleh beliau hanyalah melibatkan pertukaran pemain sahaja dan bukan sistem yang diterapkan Peter Cklamovski sejak mula mengambil alih Harimau Malaya pada Januari.

”Saya rasa Peter Cklamovski tak akan menukar sistem sebab sistem ini sejak awal beliau masuk sampai sekarang, bermain dengan sistem ini.”

”Bila dia masuk (Januari lalu, kumpulan) pemain lain dan sekarang ini, beliau perlu melakukan dan jalankan sistem dengan pemain yang sedia ada sahaja,” tambah beliau.

Dengan senarai pemain yang sedia ada ketika ini, Lim Chan Yew melihat Peter Cklamovski tiada pilihan selain membuat pemain beradaptasi dengan sistem sedia ada di dalam skuad kebangsaan.

”Mahu atau tidak, beliau kena buat juga (melatih pemain dengan sistem sedia ada),” jelas Lim Chan Yew ketika menjadi pundit ketika perlawanan antara Laos vs Malaysia lalu.

“Mungkin ada faktor lain seperti contoh Joao Figueiredo berada di hadapan, kita tahu peranan dia tetapi mungkin Romel Morales tak boleh buat.”

”Jadi, bila Romel Morales tak mampu lakukan, beliau (Peter Cklamovski) kena ubah sedikit tetapi dari segi formasi tetap sama cuma gaya permainan (pemain) akan berubah.”

Aksi Malaysia vs Laos akan berlangsung pada 14 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula tepat jam 9 malam ini.