Amaran Anak Shin Tae-yong Tentang Nasib Indonesia Jadi Realiti
MakanBola
Korea FA

Anak kepada bekas pengendali Timnas Indonesia, Shin Tae-yong iaitu Shin Jae-won pernah meluahkan perasaan kecewa kepada pihak PSSI dan tampaknya kenyataan beliau bertukar raliti.

Ketika ini, Timnas Indonesia jadi bualan hangat peminat bola sepak di rantau Asia selepas impian besar bagi melihat Sang Garuda layak ke Piala Dunia 2026 hancur berkecai di tangan Arab Saudi dan Iraq.

Indonesia yang kini dibimbing oleh legenda Belanda, Patrick Kluivert terpaksa akur mengalami dua kekalahan di pusingan ke-4 kelayakan ini sekaligus berada di tangga terbawah bagi kumpulan B.

Para penyokong setia Sang Garuda gagal menyembunyikan kekecewaan setelah melihat Indonesia hanya selangkah lagi akan ke Piala Dunia dan melihat Patrick Kluivert bukan sosok yang sesuai untuk menjadi jurulatih.

Di sebalik kekecewaan ini, para penyokong mula mengungkit kesilapan lalu Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang memecat bekas pengendali, Shin Tae-yong pada awal Januari lalu.

Sesetengah peminat mula memetik kata-kata anak Shin Tae-yong, Shin Jae-won yang ingin melihat sejauh mana pasukan Indonesia mampu pergi tanpa kelibat bapanya yang berjuang sehabis baik.

“Kita lihat sama ada kamu semua dapat mara lebih jauh atau tidak tanpa beliau. Beliau sudah memberikan segalanya untuk meletakkan Indonesia pada kedudukan ini,” katanya di ruang komen Instagram PSSI.

“Saya ada banyak benda nak diperkatakan tentang cara PSSI melayan bapa saya tapi saya akan tutup mulut buat masa sekarang,” tambahnya pada bulan Januari lalu.

Ternyata kata-kata Shin Jae-won itu bertukar realiti selepas Indonesia di bawah kendalian Patrick Kluivert gagal mara ke Piala Dunia tatkala Shin Tae-yong yang membawa pasukan pada awalnya.

Shin Tae-yong ketika ini bergelar ejen bebas setelah kontrak bersama Ulsan HD telah ditamatkan beberapa hari yang lalu meskipun baru sekitar dua bulan mengambil alih kelab Liga Korea itu.