Tunku Ismail Nyata Hasrat Bawa UFC & WWE Ke Malaysia
MakanBola
DYAM Tunku Ismail

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyatakan hasrat untuk membawa UFC dan WWE ke Malaysia.

Hasrat itu dizahirkan baginda selepas berpeluang menonton aksi WWE Crown Jewel 2025 yang diadakan di RAC Arena, Perth, Australia baru-baru ini.

Selain menonton para penggusti berentap di gelanggang, Tunku Ismail turut berpeluang bergambar dengan mereka. Ini termasuk Ketua Pegawai Kandungan WWE, Paul Michael Levesque atau Triple H.

Tunku Ismail memaklumkan perbincangan sedang diadakan dengan WWE dan UFC agar ia dapat diadakan di Johor.

“Kita adakan perbincangan dengan UFC dan WWE untuk membawa kedua-dua acara ini ke Johor pada masa akan datang. Harapnya pada tahun 2027. Stadium Sultan Ibrahim (SSI),” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Baginda disertai oleh isteri, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor. Turut sama hadir ialah Duta Sukan Johor, Sonny Bill Williams.

Sebelum ini, Tunku Ismail turut menjadi tetamu kehormat aksi The Rugby Championship antara New Zealand dan Australia baru-baru ini.