Laos Tekad Bangkit, Belajar Daripada Kesilapan Bertemu Malaysia
MakanBola
Lao FF

Pengendali Laos, Ha Hyeok-jun berazam membantu pasukan itu melakar keputusan lebih baik ke atas Malaysia menjelang aksi keempat kelayakan Piala Asia 2027.

Hasrat itu dizahirkan jurulatih Korea Selatan itu selepas mengkaji punca di sebalik kekalahan pasukan itu di tangan Harimau Malaya pada 9 Oktober lalu.

Harimau Malaya meraih kemenangan bermakna 3-0 ke atas Laos di Vientiane. Arif Aiman Hanapi, Dion Cools dan Faisal Halim masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Hyeok-jun mendedahkan Laos sudah belajar daripada kesilapan yang berlaku dalam aksi sebelumnya. Beliau percaya ini akan membantu pasukan itu memberi persembahan lebih baik selepas ini.

“Seperti yang kita tahu, Laos tewas 3-0 kepada Malaysia dalam aksi sebelumnya. Ada banyak perkara yang dipelajari dan dianalisis daripada perlawanan berkenaan tetapi Malaysia pasukan yang lebih bagus.

“Kita akan cuba berjuang sebaik mungkin. Untuk aksi ini, kita banyak belajar dari kesilapan jadi kita lebih bersedia untuk aksi ini esok.

“Harapnya kita mendapat keputusan yang lebih baik untuk Laos,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Laos perlu menang jika mahu merapatkan jurang dengan Vietnam yang menghuni tangga kedua Kumpulan F. Vietnam terus mengekori Malaysia selepas menewaskan Nepal 3-1.

Laos bakal berdepan cabaran Harimau Malaya di SNBJ pada 14 Oktober ini.