ARRC ‘Hukum’ Zaqhwan Zaidi
UltraSukan
Honda Racing Malaysia

ARRC mengenakan hukuman denda AS$500 (RM2,100) dan Long Lap Penalty dalam perlumbaan terakhir kejohanan itu ke atas pelumba Malaysia, Zaqhwan Zaidi.

Dua hukuman ini dinyatakan ARRC menerusi satu kenyataan yang disiarkan di platform rasmi mereka.

Hukuman tersebut dijatuhkan susulan insiden kemalangan membabitkan beliau dan pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah dalam perlumbaan kedua ASB1000 di Sepang baru-baru ini.

Insiden pelanggaran yang berlaku pada pusingan terakhir perlumbaan itu menyaksikan kedua-dua pelumba terjatuh.

Ini membuka ruang kepada rakan sepasukan Zaqhwan yang mewakili Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar muncul juara perlumbaan.

Kedua-dua pelumba itu kemudiannya bangkit semula untuk menamatkan perlumbaan. Zaqhwan dan Hafizh masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dan ke-10.

Selepas ARRC mengumumkan keputusan tersebut, JDT Racing Team memaklumkan isu ini dianggap selesai.

Pasukan itu turut memaklumkan sebarang isu yang timbul dengan Idemitsu Honda Racing Malaysia telah diselesaikan secara berhemah dan diplomatik.

“Insiden ini disifatkan sebagai tidak sengaja yang terjadi akibat perlumbaan yang sengit dan kompetitif yang menjadi sebahagian daripada asam garam sukan permotoran.

“Keselamatan, integriti dan semangat kesukanan kekal menjadi keutamaan kami dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak penganjur bagi memastikan piawaian tinggi dikekalkan sepanjang masa.

“Kami kini mengalihkan fokus kepada pusingan seterusnya, disatukan dengan komitmen bersama untuk menaikkan sukan permotoran Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

Keputusan terbaru di Sepang menyaksikan Hafizh kini di tempat kedua kejuaraan keseluruhan ASB1000 di belakang pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat. Nakarin mendahului dengan 152 mata sambil diekori bekas jaguh MotoGP itu dengan 148 mata.

Zaqhwan masih berpeluang memintas kedua-duanya dan muncul juara di Buriram, Thailand. Beliau berkongsi tempat ketiga dengan Keito Abe selepas mengumpul 141 mata.

Selepas ini, ARRC akan menutup tirainya menerusi pusingan keenam kejohanan di Buriram dari 5 hingga 7 Disember ini.