Malaysia B-17 wanita berjaya menundukkan pasukan B-17 wanita Tajikistan dengan keputusan 2-0 di Stadium Central, Dushanbe pada Isnin.
Malaysia menurunkan Putri Aina di bahagian penjaga gol dan Nur Qistina menggalas lilitan kapten manakala Nur Laila mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, pasukan Tajikistan membariskan Kholdorova Farahnov di benteng terakhir sambil mengetuai kesebelasan utama dan Kamilla Rasulova menjadi ayam tambatan negara tersebut.
Malaysia berjaya membuka akaun jaringan seawal minit ke 15′ menerusi penyerang berbisa pasukan wanita B-17 iaitu Laila Syamila sekaligus mendahului dengan satu gol.
Pasukan Tajikistan turut melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang Malaysia namun ketangkasan penjaga gol, Putri Aina harus diberi pujian.
Memasuki minit ke 35′ kedudukan masih didahului oleh pasukan kebangsaan meskipun beberapa serangan dilancarkan oleh Tajikistan.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan Malaysia.
Bersambung babak kedua, Malaysia tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol tambahan.
Tajikistan yang bermain di halaman sendiri tampak gagal mengambil kelebihan untuk menjaringkan gol.
Memasuki minit ke 65′ Malaysia masih mendahului kedudukan perlawanan dengan satu jaringan awal.
Malaysia berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke 85′ menerusi penyerang berbisa, Dishanna Pillay sekaligus mematikan langkah pasukan Tajikistan.
Perlawanan tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan kebangsaan Malaysia dan meraih 3 mata penuh bagi aksi pertama kelayakan ini.