“Tunku Ismail Sokong Impian Saya Saat Tiada Siapa Peduli” – Shaukat
UltraSukan
DYAM Tunku Ismail/Shaukat

DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor terus buktikan komitmen luar biasa terhadap pembangunan pelbagai cabang sukan apabila baginda menyatakan hasrat untuk membawa kejohanan berprestij dunia seperti WWE dan UFC ke Malaysia dan mendapat perhatian ahli gusti negara.

Di sebalik berita besar itu, atlet gusti profesional negara, Shaukat tampil berkongsi sisi peribadi tentang bagaimana Tunku Ismail menjadi antara individu terawal yang mempercayai bakat dan perjuangannya ketika tiada siapa peduli.

“Ramai yang tag dan sebut nama saya dalam hantaran Tunku Ismail mengenai WWE. Ramai yang tak tahu bahawa baginda pernah menjemput dan menonton pertunjukan APAC Wrestling, dan merupakan satu-satunya individu yang percaya pada saya serta menyokong impian dan kerja keras saya ketika tiada seorang pun menteri, wakil kerajaan atau pemilik jenama tempatan yang mahu memberi perhatian,” tulis Shaukat di laman Facebook miliknya.

Perkongsian itu dibuat selepas Tunku Ismail mengesahkan bahawa beliau sedang berurusan dengan pihak WWE dan UFC bagi menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai venue utama penganjuran acara sukan hiburan bertaraf dunia.

Menurut laporan, Tunku Ismail sebelum ini turut menghadiri acara WWE Elimination Chamber 2025 di Perth dan bertemu secara langsung dengan pengurusan tertinggi WWE seperti Triple H sekaligus memperlihatkan keseriusan baginda dalam merealisasikan hasrat tersebut.

Shaukat turut menzahirkan rasa terharu apabila mengimbas kembali detik Tunku Ismail memberi semangat dan dorongan kepadanya ketika beliau berada di titik terendah dalam hidup.

“Tuanku pernah memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada saya ketika saya melalui detik paling sukar dalam hidup. Sebab itu ketika saya muncul di televisyen Amerika Syarikat, saya memakai logo JDT di dada saya. Malah dalam video pengenalan saya juga terpampang mahkota Johor dan Stadium Sultan Ibrahim,” katanya lagi.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan atas kehendak sendiri sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga kepada Tunku Ismail yang sanggup mempercayai dirinya walaupun ketika itu dia dianggap tiada siapa.

“Tuanku tidak pernah meminta apa-apa. Saya sendiri yang lakukannya dengan ikhlas kerana amat berterima kasih dan terharu apabila Tuanku boleh percaya kepada insan biasa seperti saya,” jelas Shaukat dalam hantaran sama.

Beliau menutup perkongsiannya dengan ungkapan penuh semangat bahawa perjuangan masih jauh dan kerja keras akan diteruskan demi mengharumkan nama Malaysia.

“Kerja keras tidak akan berhenti. Kita lihat bagaimana masa depan nanti,” tulisnya.

Kisah Shaukat ini menjadi bukti nyata bahawa visi Tunku Ismail dalam dunia sukan melangkaui bola sepak semata-mata, apabila sokongan baginda turut membuka ruang kepada atlet tempatan lain untuk terus bermimpi besar dan membawa nama Malaysia ke pentas dunia.