Palestin melakar kejutan dengan menewaskan pasukan ke-38 dunia, Algeria dalam aksi persahabatan di Stadium 19 Mei, Annaba.
Meskipun berstatus pasukan ke-99 dunia, Singa Kanaan yang dibimbing Ehab Abu Jazar dilihat bersedia memberi tentangan kepada pasukan Afrika Utara itu.
Bekas kapten Kelatan The Real Warriors FC (KTRW FC), Oday Kharoub mengetuai jentera tengah Palestin. Jurulatih Algeria, Madjid Bougherra pula bereksperimen dengan memberi peluang kepada muka baru termasuk pemain tengah QPR, Rayan Kolli.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan di Stadium 19 Mei.
Penyerang Al-Arabi SC, Zaid Qunbar menceriakan kem Palestin dengan meledakkan gol pendahuluan yang menewaskan penjaga gol JS Kabylie, Idir Hadid.
Tuan rumah cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Algeria terus memberi tekanan ke atas kubu Palestin yang diketuai bek tengah Al-Gharafa SC, Yaser Hamed.
Benteng pertahanan Singa Kanaan kental mempertahankan kelebihan satu gol mereka sehingga wisel penamat.
Kemenangan ini dijangka membakar semangat Palestin menjelang dua aksi persahabatan di Sepanyol pada November ini.
Algeria pula menjadikan perlawanan ini untuk menentukan barisan pemain mana yang akan dibawa untuk saingan Arab Cup yang akan berlangsung pada Disember ini.